Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pendidikan
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 15 Februari. - Kementerian Kesihatan telah mengadakan Sesi Taklimat Kerjaya dalam Penjagaan Kesihatan, bertempat di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan yang dihadiri oleh pemimpin-pemimpin sekolah dan guru-guru pendidikan kerjaya sekolah dari sekolah-sekolah menengah, maktab-maktab, dan pusat-pusat tingkatan enam kerajaan di seluruh negara.
Taklimat berkenaan adalah merupakan hasil kolaborasi dan usaha sama antara pihak Kementerian Kesihatan bersama dengan Kementerian Pendidikan, melalui Unit Pendidikan Kerjaya, Jabatan Sekolah-sekolah.
Tujuan utama taklimat berkenaan diadakan adalah untuk memberikan maklumat mendalam dan penerangan lanjut mengenai kepelbagaian kerjaya dalam sektor penjagaan kesihatan.
Melalui kolaborasi berkenaan, pihak sekolah diharapkan dapat memperoleh pemahaman yang lebih jelas mengenai keperluan tenaga kerja, iaitu jenis-jenis kerjaya dan kursus yang diperlukan oleh negara dalam bidang kesihatan; perancangan akademik, iaitu subjek-subjek penting yang perlu diambil oleh pelajar di peringkat sekolah untuk memenuhi syarat kemasukan kursus profesional; dan hala tuju kerjaya, iaitu memberikan bimbingan yang lebih terarah kepada pelajar dalam merancang masa depan mereka sebagai pakar kesihatan.
Sesi taklimat berkenaan merangkumi tiga pembentangan utama, iaitu taklimat 1 mengetengahkan gambaran ringkas mengenai profesional kesihatan dan perkhidmatan yang disediakan di Kementerian Kesihatan, yang disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif.
Sementara taklimat 2 pula mengenai program-program berkaitan kesihatan yang ditawarkan di Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa'adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), Universiti Brunei Darussalam (UBD), termasuk syarat kemasukan dan jangkaan akademik. Taklimat berkenaan disampaikan oleh Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Pengiran Dr. Hajah Nurolaini binti Pengiran Haji Muhd. Kifli.
Manakala, perkongsian maklumat mengenai peluang kerjaya dalam bidang Sokongan Teknikal Kesihatan Bersekutu (Allied Health Technical Support) di Kementerian Kesihatan, yang disampaikan oleh Pegawai Kesihatan Kanan, Pejabat Pengurusan Sumber Manusia bagi Profesional Kesihatan, Dayang Hajah Isyrah Hayati binti Haji Osman.
Sesi taklimat diakhiri dengan sesi soal jawab, penyampaian sijil penghargaan dan cenderamata oleh Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan (Korporat), Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Awang Mohammad Danny bin Aimi, kepada Dayang Hajah Isyrah Hayati, bagi mewakili pihak Kementerian Kesihatan; dan Pengiran Dr. Hajah Nurolaini, bagi mewakili PAPRSB IHS, UBD dan seterusnya lawatan ke petak-petak pameran serta bahan maklumat yang disediakan.